Selamat Datang Ke Laman KeagunganNYA -- Sesungguhnya saat yang paling dekat antara dirimu dengan ALLAH Subhanahu wa Ta'ala, iaitu apabila engkau sedang bersujud kepadaNya. Dan saat yang paling berbahagia adalah ketika engkau ikhlas kepadaNya. Saat yang paling lapang bagimu adalah ketika engkau berzikir kepadaNya. Dan saat dimana engkau paling berharap kepadaNya adalah ketika engkau berdo'a kepadaNya

Thursday, January 3, 2008

Lima tahap kualiti kepemimpinan

PEMIMPIN perlu melaksanakan amanah dengan baik kerana di akhirat kelak Allah akan memintanya mempertanggungjawabkan kepemimpinan yang dijalankan ketika hidupnya di dunia.

Pesanan Rasulullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud: “Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu sekalian akan ditanya perihal kepemimpinan kamu”. Peringatan Rasulullah SAW itu perlu dijadikan peringatan buat kita semua.

Apa yang ingin dikemukakan ialah jawatan pemimpin khusus dalam institusi formal atau organisasi bagi meneliti sejauh mana keberkesanan kepemimpinan kita itu.

Dalam sebuah organisasi atau institusi formal, jawatan pemimpin dikurniakan kepada seseorang apabila dia layak bagi memikulnya. Tidak pantas bagi seseorang itu mahu terus memegang atau meminta kerusi kepemimpinan.


Rasulullah SAW bersabda kepada Abdurrahman bin Samurah yang bermaksud: “Wahai Abdul Rahman bin Samurah! Janganlah kamu meminta untuk menjadi pemimpin. Sesungguhnya jika kepemimpinan diberikan kepada kamu kerana permintaan, maka kamu akan memikul tanggungjawab sendirian dan jika kepemimpinan itu diberikan kepada kamu bukan kerana permintaan, maka kamu akan dibantu untuk menanggungnya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Perkara yang perlu kita ingat adalah seseorang itu tidak dilahirkan sebagai pemimpin. Malah sifat menjadi pemimpin itu perlu dibentuk dan untuk menjadi pemimpin, seseorang harus melalui pelbagai proses dan pelbagai bentuk latihan.

Proses pencanaian yang harus dilalui kadangkala memakan masa cukup lama, jalannya pula kadangkala penuh berliku. Hanya mereka yang sanggup melalui proses perit itu akan menjelma menjadi pemimpin yang disegani dan dihormati.

Laksana sebutir berlian dari perut bumi yang harus dipotong mengikut segi tertentu. Bukankah kilauannya hanya akan terserlah dan menyilaukan mata yang memandang selepas batu kasar yang asal itu digilap sepenuhnya?

Sering kali, pemimpin akan berdepan dengan situasi membingungkan ketika menjalankan tugas atau berhadapan dengan orang di bawah tanggungjawabnya. Apakah segala kecelaruan itu akibat kedegilan, anak buah yang bermasalah, atau puncanya daripada sikap diri kita sendiri.

Sesuai dengan hal ini, diperturunkan suatu ungkapan:

Si perungut akan mengomel mengenai angin kencang yang bertiup,

Si periang akan duduk menunggu angin berubah arah atau memperlahankan pukulannya,

Si pemimpin sebenar akan mengubahsuaikan labuhan layarnya.

Apakah pula kepemimpinan dan bagaimana memupuk kepemimpinan diri secara berperingkat dan kaitannya dengan sikap kita? Mari kita selidik bagaimana kita boleh ‘mengubah suai labuhan layar’ itu.

Nick Pollice memperkatakan lima tahap kepemimpinan yang boleh dijadikan neraca bagi menilai keberkesanan kepemimpinan kita antaranya:

l Pemimpin tahap satu, kepemimpinan berasaskan kedudukan.

Pada tahap ini, kita perlu tahu orang hanya mengikut kepemimpinan itu disebabkan terpaksa dan keadaan memaksa. Bermakna kepatuhan dituntut daripada pengikut secara disebabkan pemimpin berada di situ kerana dilantik pihak tertentu.

Memandangkan kerusi yang disandang dan dipegang, bukan disebabkan memiliki bakat kepemimpinan, maka jika ditolak kerusi itu, maka pemimpin berkenaan akan jatuh tersungkur.

Betapa ramai daripada manusia yang jika tidak memegang lagi sesuatu jawatan, orang tidak lagi datang mencari, bermakna hadirnya tidak dirasai, hilangnya juga tidak dirindu. Banyak perkara yang perlu dipelajari dan dilakukan jika kita berada pada tahap kepemimpinan ini.

l Pemimpin tahap dua, kepemimpinan berasaskan rasa hormat.

Orang bawahan sedia mengikut pemimpin itu disebabkan suka dan rela. Sikap ambil berat, memahami dan mampu melihat sesuatu daripada kaca mata orang lain membina rasa hormat kepada pemimpin itu.

Tahap ini adalah asas kepada kepemimpinan sejati dan permulaan bagi pembinaan seseorang pemimpin. Seseorang yang berpotensi menjadi pemimpin yang baik semestinya memiliki syarat minimum ini.

l Pemimpin tahap tiga, kepemimpinan berasaskan hasil kerja.

Pada tahap ini, pemimpin sudah mempunyai pengikut kerana mereka sudah nampak hasil yang diperoleh. Keyakinan pengikut akan bertapak. Pencapaian diri yang diperoleh dan juga kecekalan hati pada pemimpin membuahkan barisan pengikut yang jelas tujuan dan matlamat ingin dicapai.

Pemimpin pada tahap ini akan dapat menambat hati pendukung untuk berdiri di belakangnya. Pengikut akan berbakti, berusaha dan bekerja dengan rasa senang dan gembira. Ia sudah tentu menguntungkan terutama jika suasana itu dapat diwujudkan dalam sesebuah organisasi.

l Pemimpin tahap empat, kepemimpinan berasaskan pembangunan manusia.

Jika pemimpin berjaya mencapai ke tahap ini, kita akan dapati pengikut sanggup melakukan apa saja dengan sepenuh jiwa raga. Pengikut sangat patuh, taat dan setia. Apatah lagi jika pemimpin itu dapat memupuk dan membentuk sekelompok manusia yang juga mempunyai bakat kepemimpinan, saling melengkapi kekurangan yang ada pada diri pemimpin itu sendiri.

l Pemimpin tahap lima, kepemimpinan berasaskan bimbingan secara langsung (berperanan sebagai mentor).

Jika seseorang pemimpin itu berada pada tahap ini, ia dianggap berjaya kerana dirinya membekas di hati orang di sekelilingnya.

Kata-kata pemimpin itu sentiasa menjadi ikutan dan dirinya sentiasa dirujuk walaupun dia tidak lagi menduduki sesuatu kerusi, mahupun menyandang apa-apa jawatan dalam organisasi asalnya.

Pemimpin pada tahap ini adalah ‘role model’ dan amat disegani. Maka pada ketika ini, kehadiran diri pemimpin itu disenangi dan dihargai. Sebaliknya, tiadanya dia akan dirasa sebagai kehilangan dan amat dirindui.

Ia bertepatan dengan fakta hasil kajian yang diterbitkan dalam majalah Fortune. Hasil kajian itu mendapati ciri ketua yang paling berkesan adalah orang yang mahir dan mampu mendorong orang bawahannya.

Apakah yang akan lahir jika suasana ini dapat diacukan? Contohnya dalam dunia pendidikan, kita dapati guru atau pendidik mencapai tahap kepemimpinan begini sentiasa dikenang jasa oleh muridnya.

Bayangkan jika setiap daripada kita dapat mengerti dan bertindak sebagai pemimpin yang berjaya sampai ke puncak mercu yang akhir ini, akan mudahlah nanti segala urusan harian dalam institusi atau organisasi.

Begitu juga bagi mereka yang membabitkan diri dengan kerja secara berorganisasi, terutama dalam kerja dakwah dan proses mendidik jiwa manusia ke jalan Allah. Semuanya pasti akan dapat berjalan dengan licin dan teratur.

Bukannya mudah untuk sampai ke tahap ini. Sememangnya perlu pada persiapan diri, darjah kesabaran tinggi serta ketabahan yang kental.

Tuesday, December 25, 2007

Kekeliruan antara Masjid Al-Aqsa dan Dome of The Rock

Melihat pada gambar di atas, tentunya ramai yang menyangka bahawa masjid di atas adalah Masjid Al-Aqsa. Jika diperhatikan denga teliti, kita akan dapat melihat sebuah lagi kubah berwarna hijau yang kelihatan agak samar-samar. Percayalah, kubah yang berwarna hijau itulah Masjid Al-Aqsa yang sebenarnya.

Masjidil Aqsa merupakan kiblat pertama bagi Umat Islam sebelum dipindahkan ke Kaabah dengan perintah Allah SWT. Kini ia berada di dalam kawasan jajahan Yahudi. Dalam keadaan yang demikian, pihak Yahudi telah mengambil kesempatan untuk mengelirukan Umat Islam dengan mengedarkan gambar Dome of The Rock sebagai Masjidil Aqsa. Tujuan mereka hanyalah satu, iaitu untuk meruntuhkan Masjidil Aqsa yang sebenarnya. Apabila Umat Islam sendiri sudah terkeliru dan sukar untuk membezakan Masjidil Aqsa yang sebenarnya. Maka semakin mudahlah tugas mereka untuk melaksanakan perancangan tersebut.

Lihat pula gambar di bawah, berikut adalah gambar sebenar Masjidil Aqsa pada jarak yang lebih dekat. Betapa jauhnya perbezaan antara Dome of The Rock jika dibandingkan dengan Masjidil Aqsa. Hanya Jauhari juga yang mengenal Manikam

Agenda Israel menghapuskan Masjidil Aqsa

Berikut disertakan juga terjemahan daripada surat yang dikarang dan dikirimkan oleh Dr. Marwan kepada ketua pengarang "Al-Dastour" harian. Berhati-hatilah dengan perancangan zionist tentang Masjidil Aqsa. Jangan biarkan mereka berjaya dengan peracangan mereka.
Terjemahan surat Dr. Marwan:

Terdapat beberapa kekeliruan di antara Masjidil Aqsa dan The Dome of The Rock. Apabila sahaja disebut tentang Masjidil Aqsa di dalam media tempatan mahupun antarabangsa, gambar The Dome of The Rock pula yang dipaparkan. Sebab utama ia dilakukan adalah bagi mengabaikan orang ramai dimana ianya adalah perancangan Israel. Tinjauan ini diperolehi semasa saya tinggal di USA, dimana saya telah dimaklumkan bahawa Zionis di Amerika telah mencetak dan mengedarkan gambar tersebut dan menjualkannya kepada orang arab dan Muslim. Kadangkala dijual dengan harga yang murah bahkan kadangkan diberikan secara percuma supaya Muslim dapat mengedarkannya dimana-mana sahaja. Tak kira di rumah mahupun pejabat.

Ini meyakinkan saya bahawa Israel ingin menghapuskan gambaran Masjid Al-Aqsa dari ingatan umat Islam supaya mereka dapat memusnahkannya dan membina kuil mereka tanpa sebarang publisiti. Sekiranya terdapat pihak yang membangkang atau merungut, maka Israel akan menunjukkan gambar The Dome of The Rock yang masih utuh berdiri, dan menyatakan bahawa mereka tidak berbuat apa-apa. Rancangan yang sungguh bijak! Saya juga merasa amat terperanjat apabila bertanya kepada beberapa rakyat arab, Muslim, bahkan rakyat Palestin kerana mendapati mereka sendiri tidak dapat membezakan antara kedua bangunan tersebut. Ini benar-benar membuatkan saya berasa kesal dan sedih kerana hingga kini Israel telah berjaya dalam perancangan mereka.
Dr. Marwan Saeed Saleh Abu Al-Rub Associate Professor,
Mathematics Zayed University Dubai

Sunday, December 9, 2007

Bukan selama-lama gagal

Petikan dari akhbar...

Oleh MOHD. RIDUWAN WAHAB

Memang tidak dapat dinafikan bahawa peratus pelajar yang memperoleh kejayaan dalam peperiksaan awam di seluruh negara kian meningkat saban tahun secara keseluruhannya. Namun, bagaimanakah pula dengan nasib mereka yang tidak dapat memenuhi impian ibu bapa dan guru yang mengharapkan kejayaan mereka?.

Wajarkah mereka disisihkan dalam keghairahan kita meraikan kejayaan yang lain?

Justeru, usah kita lupa akan nasib ratusan ribu pelajar yang tercicir daripada arus pendidikan perdana pada setiap tahun kerana jumlah ini akan kian bertambah. Mereka yang kurang cemerlang dalam peperiksaan ini tidak seharusnya dibiarkan sama sekali. Ini kerana ada pendapat mengatakan bahawa kecemerlangan bukan sekadar dapat diukur berdasarkan keputusan peperiksaan semata-mata.

Dalam hal ini, penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti kokurikulum di sekolah, sahsiah, dan budi pekertinya juga perlu diambil kira bagi melengkapkan pakej pelajar cemerlang yang bakal dilahirkan untuk mewarisi tampuk pemerintahan negara.

Justeru, ibu bapa tidak sepatutnya menganaktirikan anak-anak yang kurang cemerlang akademiknya sedangkan mereka cemerlang dalam bidang kemahiran. Daripada laporan yang diberikan, ternyata ramai pelajar yang menunjukkan minat yang tinggi dalam bidang kemahiran tertentu.

Oleh itu, ibu bapa berperanan menilai dan mengadaptasi kecenderungan, kebolehan, bakat dan potensi anak-anak dengan mencungkil kelebihan yang dimiliki oleh mereka. Anak-anak sewajarnya diberi peluang untuk menunjukkan kebolehan masing-masing supaya ibu bapa dapat mengenal pasti keperluan mereka.

Dengan ini, ibu bapa boleh membaiki cara asuhan mereka dan persekitaran pendidikan anak-anak agar mereka dapat berkembang dan membesar dengan baik. Kerana anak-anak merupakan individu yang berbeza antara satu dengan yang lain. Terpulanglah kepada kesungguhan ibu bapa untuk menggilap kualiti yang ada pada anak-anak mereka.

Inilah yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis Baginda yang menyatakan betapa pentingnya peranan ibu bapa dalam usaha mencorakkan peribadi anak-anak. Waktu pendidikan yang paling sesuai untuk memulakan usaha ini ialah ketika mereka masih kecil. Sesungguhnya bijak pandai pernah berkata, “mengajar ketika kecil laksana mengukir di atas batu, manakala mengajar ketika dewasa laksana mengukir di atas air”.

Oleh demikian, ibu bapa tidak lagi boleh menjadikan kegagalan anak-anaknya dalam pendidikan sebagai alasan untuk memberhentikan persekolahan mereka di pertengahan jalan. Sebaliknya, ibu bapa perlu sedar bahawa pendidikan merupakan pelaburan untuk masa hadapan keluarga.

Ibu bapa harus bersedia untuk berkorban demi masa hadapan anak-anak kerana dengan ini, anak-anak akan lebih bermotivasi untuk belajar dan menghargai apa yang dilakukan oleh ibu bapa mereka.

Kejayaan

Percayakah kita bahawa ada dalam kalangan pelajar yang berjaya dalam peperiksaan tersebut pada suatu masa dahulu pernah mengalami kegagalan? Namun, kegagalan yang dialami itu tidak mematahkan semangat mereka untuk bangkit semula mencipta kejayaan malah lebih berjaya daripada individu yang pernah berjaya sebelum ini.

Inilah semangat positif yang perlu diterapkan dalam diri setiap individu bagi mengelakkan berlakunya keciciran di kalangan remaja yang kononnya disebabkan oleh sikap putus asa akibat gagal dalam peperiksaan. Orang tua-tua pernah berkata, ‘gagal hari ini tidak bermakna kita akan gagal untuk selama-lamanya’.

Malah ada dalam kalangan para pelajar yang mencapai keputusan cemerlang ini terdiri daripada golongan kurang upaya. Bahkan, ada yang mencatatkan sejarah tersendiri dengan menempatkan diri sebagai pelajar terbaik di kalangan rakan-rakannya yang normal.

Kegigihan mereka untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pelajar yang normal seharusnya mendapat pujian dan wajar dicontohi. Selain itu, ada juga di kalangan mereka yang berasal daripada keluarga miskin dan tinggal di luar bandar.

Mereka tidak pernah menyesal dengan kekurangan yang dimiliki sebaliknya menjadikan perkara ini sebagai motivasi dan cabaran untuk merangkul kejayaan. Sekali gus mereka menafikan tanggapan masyarakat umum yang mengaitkan kemiskinan sebagai salah satu faktor penghalang untuk berjaya.

Dalam masa yang sama, hal ini telah membersihkan imej pelajar di kawasan luar bandar yang sebelum ini sering dianggap ketinggalan dalam pelajaran tertentu dengan adanya peningkatan keputusan dalam subjek teras termasuk Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains pada peperiksaan yang lalu.

Apa yang dilakukan oleh pelajar-pelajar gigih ini seumpama titisan air yang akhirnya berjaya melekukkan batu yang besar. Ternyata kejayaan ini tidak datang bergolek, malah memerlukan usaha yang tidak mengenal erti penat.

Bayangkan betapa sukarnya untuk pelajar istimewa mengulang kaji pelajaran. Dengan berbekalkan buku rujukan biasa yang diterjemahkan kepada tulisan Braille hasil bantuan rakan-rakan yang normal dan guru-guru, mereka menggagahkan diri untuk berhempas-pulas semata-mata untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang.

Jiwa dan semangat mereka begitu kental. Jika tidak, masakan mereka mampu melakukan ini semua. Sikap rajin dan tidak pernah berputus asa di samping mempunyai perasaan ingin tahu serta berfikiran positif turut membantu mereka dalam hal ini. Ditambah pula dengan dorongan dan sokongan moral yang kuat daripada kaum keluarga dan guru-guru, kejayaan yang diimpi kian menjadi realiti.

Bagi pelajar yang berasal daripada keluarga kurang berada pula, tentunya matlamat untuk mengubah taraf hidup keluarganya dijadikan sebagai pemangkin dan pembakar semangat untuk mereka berjaya.

Kemiskinan yang dialami selama ini bukanlah belenggu yang mustahil untuk dibolosi. Sebaliknya, dengan adanya pendidikan, seseorang individu mampu mengecap kehidupan yang lebih baik berbanding apa yang dirasai oleh ibu bapanya dahulu.

Perkara ini telah banyak dibuktikan dalam sejarah negara. Ternyata, rata-rata kebanyakan personaliti yang berjaya hari ini dahulunya adalah seorang kanak-kanak yang lahir dalam keluarga miskin yang berlatarbelakangkan sosioekonomi yang serba kekurangan. Namun, berkat kesungguhan mereka, kini individu-individu yang terbilang ini mampu menerajui kepimpinan negara dan menyumbang ke arah pembangunan negara dalam pelbagai bidang.

Pesanan Luqman Hakim kepada anaknya

Sepanjang hidupku aku hanya memilih 8 kalimah dari
pusaka para nabi yang lalu iaitu:
1) Apabila engkau sedang solat kepada Allah maka jagalah baik-baik
fikiranmu.
2) Apabila engkau berada dirumah orang lain, maka peliharalah
pandanganmu.
3) Apabila engkau berada ditengah-tengah majlis maka jagalah lidahmu.
4) Apabila engkau hadir di jamuan makan maka jagalahperangaimu.
5) Ingatlah kepada Allah.
6) Lupakan baik budimu kepada org lain.
7) Lupakan segala kesalahan org lain terhadap dirimu.
8) Ingat kepada mati.

Saturday, December 8, 2007

Biasakan berfikir sebelum bercakap

Dari petikan akhbar....

Oleh Mohd Shukri Hanapi


RASULULLAH SAW pernah mengumpamakan lidah itu sebagai kunci segala perkara, yakni perkara baik dan buruk. Sabda Baginda kepada Muaz bin Jabal yang bermaksud: “Mahukah engkau aku beritahukan mengenai kunci semua perkara ini? Aku (Muaz) menjawab: Mahu wahai Rasulullah SAW. Lalu Baginda SAW memegang lidahnya dengan berkata: Awas, jagalah ini (lidah) baik-baik. Aku (Muaz) pun berkata pula: Wahai Rasulullah SAW, apakah kami akan dituntut atas tutur kata kami? Lalu Baginda SAW menjawab: Moga-moga Allah peliharakan engkau. Tiada lain yang akan menjerumuskan manusia menerusi muka atau batang hidungnya ke dalam neraka, melainkan tutur katanya sendiri.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)


Demikianlah betapa beratnya bencana lidah itu sehingga boleh menyebabkan tuannya terjerumus ke dalam api neraka. Sehubungan itu, kita seharusnya menjaga dan mengawasi lidah daripada mengucapkan perkataan keji dan kotor. Di sampingnya, selalu ada bahaya menunggu.

Dalam menghuraikan peranan lidah, Imam al-Ghazali berkata: “Ketahuilah bahawa bahaya lidah itu amat besar dan manusia tidak selamat daripada bahaya ini, melainkan mengucapkan tutur kata baik saja.”

Oleh itu, kita seharusnya memanfaatkan nikmat lidah yang dikurniakan Allah untuk mengucapkan perkataan atau tutur kata yang baik saja. Segala perkataan dan tutur kata yang keji dan kotor wajib ditinggalkan.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah ia berkata yang baik atau berdiam diri saja.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud: “Jagalah lidahmu kecuali bila berkata baik. Dengan berlaku demikian, engkau mengalahkan syaitan.”

Umat Islam tidak seharusnya menggunakan lidah untuk mencela, mencaci, memaki hamun orang lain dan berbohong.

Amat mendukacitakan apabila ada di kalangan umat Islam yang sanggup melemparkan kata kesat dan keji kepada saudaranya. Mereka seolah-olah tidak memikirkan balasan yang bakal diterima nanti.

Sebenarnya, orang yang menggunakan lidah ke arah keburukan adalah orang yang tidak pandai menilai nikmat kurniaan Allah. Orang sebegini dianggap mengkufuri nikmat kurniaan Allah.

Kesimpulannya, sebagai orang beriman kita hendaklah selalu mengawasi perkataan dan tutur kata. Biasakan diri berfikir dulu sebelum mengucapkan perkataan.

Jika ternyata perkataan yang hendak diucapkan itu tiada bahayanya, ucapkanlah. Jika sebaliknya, hindarilah daripada berkata-kata.

KHUTBAH TERAKHIR RASULULLAH S.A.W.

Khutbah ini disampaikan pada 9 Zulhijjah Tahun 10 Hijrah di Lembah Uranah, Gunung Arafah

Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal saleh.

Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur an dan Sunnahku.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalahMU kepada hamba-hambaMu.

10 CARA MEMBINA MOTIVASI DIRI

TIBA-TIBA anda terasa tidak bermaya sekali. Hidup umpama tidak bererti. Nyata anda telah kehilangan motivasi diri. Apa yang harus anda lakukan?

Sebelum mengambil sebarang langkah, duduk sejenak. Tarik nafas panjang-panjang dan lepaskan sekaligus. Kemudian pejamkan mata. Beri salam kepada diri sendiri dan katakan, “Hai, engkau dijadikan bukan untuk berkeluh kesah”.

Berikut adalah langkah-langkah 10 cara membina motivasi diri yang disarankan oleh Dr. HM Tuah Iskandar al-Haj, yang saya petik dari bukunya yang bertajuk “Membina Jati Diri Cemerlang”.

1 PERBAIKI IMEJ ANDA
Cuba lakukan sedikit perubahan. Kalau selama ini anda tidak kisah dengan baju atau seluar yang tidak bergosok, cuba kali ini gosoknya dengan licin dan pelbagaikan warnanya. Ubah gaya anda berjalan, sesuai dengan penampilan baru anda. Tapi, janganlah berjalan dengan penuh sombong di bumi Allah ini.

Jika anda wanita, cuba tukar imej kusam kepada kemas. Jangan terlalu pendiam tetapi jangan pula terlalu membuat bising. Jagalah batas anda sebagai seorang muslimah. Bersikap sederhana dan ringankan mulut jika ada orang meminta pandangan ataupun pendapat anda.

2 LAKUKAN SENAMAN RINGAN
Tubuh yang lemah, lembik dan lembam boleh dipulihkan dengan melakukan sedikit senaman ringan untuk menggerakkan tubuh. Tidak perlu melakukan senaman-senaman yang berat kerana ia hanya akan menyebabkan tubuh anda letih, dan menjejaskan tumpuan anda belajar. Keletihan hanya akan menyebabkan anda kembali tidak bermaya. Malah mengikut kajian, bukan semua orang sesuai melakukan senaman berat. Sesetengah orang, atas sebab-sebab kesihatan dan fizikal semulajadinya lebih digalakkan supaya tidak bersenam dengan berat.

Senamkan juga minda anda dengan membaca atau mencuba sesuatu yang berhalangan. Cara terbaik membuat senaman minda adalah dengan membaca, merenung, mempersepsi dan juga membuat ta’akulan.

3 SENYUM
Senyuman boleh mengubah segala-galanya. Dalam mood yang tidak baik, memang agak sukar hendak melakukan ini, tapi ingat jika anda senyum pulangannya serupa. Hadiahkanlah senyuman kepada seseorang, anda akan mendapat senyumannya balik. Jika anda memasamkan muka, orang lain juga akan memasamkan muka mereka terhadap anda.

Sifir kehidupan ini mudah, anda berbuat baik kepada orang lain anda akan dibalas dengan kebaikan yang sama atau mungkin dengan yang lebih baik. Jika anda berbuat jahat kepada orang lain anda akan mendapat balasan yang serupa atau yang lebih teruk. Dosa dibalas dengan neraka, kebaikan akan dibalas dengan Syurga. Bukankah itu suatu keadilan?

4 BERFIKIRAN POSITIF
Berfikiran positif akan membuatkan perkara yang sukar akan bertukar menjadi senang, masalah bertukar menjadi peluang, masa depan kelihatan lebih cerah dan insyaAllah rezeki pun akan meluas.

Fikiran-fikiran positif itu adalah doa berpanjangan yang kita panjatkan. Selama kita berfikiran positif, selama itulah ia menjadi satu pengharapan yang amat besar terhadap ALLAH. Fikiran postif yang diiring dengan tindakan yang positif selalunya akan membuahkan kejayaan dan kecemerlangan.

5 DAPATKAN TIDUR YANG MENCUKUPI
Kita memang memerlukan tidur yang berkualiti untuk mendapatkan kesegaran tubuh yang betul. Kalau telur ayam pun boleh digredkan mengikut kualitinya, demikianlah pula dengan manusia. Tidur-tidur ayam adalah tidur yang tidak berkualiti dan menyebabkan minda terdera serta tidak mendapat kerehatan yang secukupnya.
Rasa runsing, marah-marah mahupun tidak semangat adalah antara natijah daripada keletihan akibat tidak cukup tidur ataupun tidur yang tidak berkualiti.


6 LUAHKAN PADA SESEORANG
Anda memerlukan seorang sahabat ketika anda tidak berasa stabil, bahkan dalam semua keadaan pun anda memerlukan seorang sahabat. Sahabat adalah seseorang yang amat memahami anda dan sedia menjadi sahabat biar dalam kesusahan apatah lagi dalam kesenangan.

Maka pilihlah sahabat yang baik, berbudi dan beriman kerana ciri-ciri yang ada pada dirinya itu adalah cermin keperibadian anda juga.

7 CURAHKAN DI ATAS KERTAS
Curahkan semua yang merunsingkan fikiran anda itu ke atas kertas. Curahkan segala-galanya tanpa tertinggal satu pun. Kemudian bakar atau hanyutkan ke sungai. Macam mana? Terasa lega?

8 BERSEDIA UNTUK BERUBAH
Jangan teragak-agak untuk melakukan perubahan. Bulatkan hati, kuatkan tekad dan oraklah langkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Tanpa berkalau-kalau lagi. Lakukan dengan perubahan sepenuh hati dan lihatlah hasilnya nanti.

9 CARI KEGEMARAN BARU
Setiap kegemaran kita akan ada hayatnya. Umpamanya kita sebagai manusia, suatu hari nanti pasti kita akan mati. Begitu juga dengan kegemaran, sampai masanya pasti anda akan berasa jemu. Tidak salah untuk mencari kegemaran baru untuk mendapatkan lebih motivasi untuk mencorak kejayaan. Umpamanya jika dulu hobi anda adalah menulis, apa salahnya anda cuba meneroka suatu yang baru seperti melukis.

10 BERTEGASLAH
Bertegaslah dengan diri sendiri. Apabila anda mengambil satu-satu keputusan, anda berpegang teguh pada keputusan itu dengan meletakkan sepenuh kepercayaan bahawa anda akan berjaya. Apabila anda mengatakan pada diri sendiri untuk kembali ceria, bertegaslah untuk terus berkata begitu biarpun kadangkala kepahitan perkara lama masih terpahat di hati, walaupun perasaan anda dibuai-buai untuk mengatakan anda sedang bad mood sekarang.

Bertegas pada diri bukan ertinya anda tidak boleh memanjakan diri sendiri. Sekali-sekala layanlah diri anda sendiri sebagaimana anda melayan tetamu yang datang ke rumah. Juga anda boleh beri hadiah pada diri sendiri. Itu pun salah satu daripada cara menghargai diri.

Jika anda sendiri tidak selesa untuk menghormati diri anda, apakah wajar anda mengharap demikian daripada orang lain? Nah, sekarang bukankah masanya untuk bertiindak sesuatu.
Itulah antara saranan-saranan untuk memotivasikan diri. Jika anda bermasalah sekalipun cubalah untuk mengatasinya. Setiap penyakit ada ubatnya. Sama jugalah dengan masalah. Setiap masalah ada penyelesaiannya. Tempat yang sebaik-baik untuk kita mengadu adalah kepada Allah SWT. Dialah yang mencipta kita. Dialah yang tahu segala kelebihan dan kekurangan pada kita. Dialah yang paling hampir dengan kita waktu susah dan senang. Mohonlah padaNya, mohonlah Taufik dan Hidayah dariNya, mohonlah kekuatan dariNya.